BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, December 10, 2008

Bencana tanah runtuh ranapkan nafsu manusia



Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Hulu Klang baru-baru ini cukup menyayat hati tatkala umat Islam di seluruh negara sedang sibuk melakukan persiapan uuntuk perayaan aidil adha. Tidak cukup dengan itu, kanak-kanak sekolah juga kebanyakkannya sedang seronok menikmati musim cuti persekolahan mereka. Kejadian yang berlaku di kawasan perbandaran berbukit, dimana terbinanya banglo-banglo mewah, kondominium dan rumah teres telah meragut 4 nyawa, manakala 14 orang mangsa dilaporkan cedera. Sekitar 3000 hingga 5000 penduduk telah terputus hubungan dan dikehendaki berpindah ke penempatan sementara. Kejadian yang turut meranapkan 14 banglo di Taman bukit Mewah ini bukanlah kali pertama berlaku di kawasan tanah tinggi itu, seolah-olah sepert sudah menjadi ‘kawasan hitam’, kejadian sebelum ini pernah berlaku dimana kejadian Highland Towers rebah (11 Disember 1993) dan tanah runtuh yang menghempap rumah bekas Panglima Angkatan tentera Jen (B) Tan Sri Ismail Omar (20 November 2002) dan yang terakhir berlaku di Kampung Pasir (31 Mei 2006). Kejadian tanah runtuh ini mendapat liputan yang cukup luas, sehingga ramai pemimpin Negara turun melawat kawasan kejadian termasuk YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Pelbagai reaksi dan respon diterima oleh pelbagai pihak, dari golongon atasan hinggalah bawahan, ahli politik, ahli agama dan juga pakar alam sekitar. Saya cukup tertarik dengan respon vokal oleh Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo, Pengarah Institut Penyelidikan Pencegahan Bencana Alam Asia Tenggara yang menyatakan bahawa kebanyakan kejadian tanah runtuh berlaku bukanlah kerana bencana alam, sebaliknya lebih tepat jika dinamakan sebagai bencana buatan maunsia atau bencana teknologi. Nah, tiada siapa lagi yang harus dipersalahkan melainkan perbuatan manusia itu sendiri. Benarlah maksud firman Allah dalam surah ar-Ruum, ayat ke 41, “telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan taubat)”

Maksud ayat ini sudah cukup untuk menjelaskan bahawa segala apa jua bentuk kerosakan yang berlaku di muka bumi ini adalah berpunca dari ‘tangan-tangan’ manusia. Manusia seringkali mendahulukan hawa nafsu dan ketamakan harta benda tanpa mempedulikan kepentingan orang lain. Kajian sejarah juga menunjukkan bahawa manusia sering mengeksploitasi sumber-sumber alam tabii untuk memenuhi nafsu mereka, meskipun untuk perkara-perkara yang tidak perlu. Apa yang cukup menghairankan, spesis lain seperti haiwan juga turut menggunakan sumber-sumber alam tabii untuk keperluan mereka, tetapi digunakan secara lestari (sustainable), maka dengan cara ini alam tabii dapat menggantikan semula apa yang telah digunakan.

Laporan akhbar perdana kebanyakkan merumuskan bahawa kejadian tanah runtuh ini berpunca dari sikap pemaju perumahan yang terus berdegil untuk menjalankan projek perumahan di kawasan sensitif ini. Desakan ini berpunca dari permintaan orang ramai yang menginginkan kediaman di lereng-lereng bukit dengan keindahan dan pemandangan yang cantik dijadikan alasan tanpa mengira risiko yang bakal berlaku. Selain itu, peranan pihak berkuasa (PBT) seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga dipersoal kerana segala polisi dan undang-undang berkaitan prosedur untuk sebarang projek di kawasan tanah tinggi berada pada tangan mereka.

Sewajarnya kita semua harus mengambil iktibar dan pengajaran agar kejadian ‘rekaan manusia’ ini tidak lagi berlaku di negara kita. Jangan jadi seperti patah melayu ‘sudah terhantuk baru mengadah’

0 comments: