BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, July 30, 2009

“Jangan Merajuk” dalam perjuangan


Antara menariknya kawasan Bangi ini apabila surau dan juga masjidnya begitu meriah dengan pengisian kuliah-kuliah agama. Pengisi kuliah juga bukan calang-calang orangnya, Dato’ Dr Haron Din, Ust Ismail Kamus, Ustaz Farid Ravi, dan sebagainya. Kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Ilahi yang telah meletakkan saya di bumi Bangi yang penuh barakah ini, sesuai dengan gelaran “Bangi Bandar Ilmu”.

Malam tadi (Khamis) surau An-Nur, Bandar Baru Bangi dipenuhi dengan para jemaah yang agak ramai berbanding biasa. Rupa-rupanya Ustaz Hasrizal Jamil (Saifulislam.com) yang bakal mengisi kuliah maghrib malam tersebut dengan tajuk berkenaan Isra’ dan Mi’raj. Malang sekali kerana terlalu tergesa-gesa ke sana sebarang alat catatan tidak dibawa, melainkan telefon bimbit Sony Ericson G502 yang tidak seberapa ini. Sempat juga merakam beberapa gambar dan audio.

Antara intipati ceramah beliau yang sempat terakam di memori dan bantuan rakaman audio:

1. Tiada istilah MERAJUK dalam usaha dakwah, apatah lagi cepat berputus asa, dan lemah semangat. Jangan kita menjadi umat yang tergesa-gesa, yang terlalu cepat mengalah dan terlalu menginginkan kemenangan. Keperitan yang dilalui para sahabat di zaman Rasullullah begitu dahsyat sehingga ada sahabat yang mengeluh pada Nabi SAW. Namun Nabi SAW menjawab bahawa apa yang dialami pada zaman Nabi Musa lebih dahsyat dari itu, melainkan SABAR yang menjadi kekuatan mereka akhirnya. Allah menguji manusia sejauh mana kita yakin dengan Allah bahawa kemenangan itu adalah sesuatu yang pasti.

2. Peristiwa Isra’ dan Mi’raj juga mencabar intelektual manusia. Bagaimana perjalanan nabi dari Mekah ke Sidratul Muntaha boleh mencapai dalam masa satu malam, mampu untuk difahami oleh masyarakat hari ini. Analogi yang diberikan cukup menarik; seekor lalat yang tetiba masuk ke dalam pemilik kereta yang ingin ke KLCC dari Bangi, mengambil masa hanya kira-kira 2 jam berbanding sekiranya lalat tersebut terbang bersendirian, pasti akan mengambil masa berminggu-minggu. Betapa sukarnya lalat tersebut ingin menerangkan kepada sekalian keluarga-keluarga lalat yang lain berkenaan perjalanannya itu kerana lalat tersebut telah menaiki kereta. Begitulah jugaa Nabi SAW yang menaiki buraq ke sidratul muntaha, buraq yang diperbuat daripada cahaya.

3. Allah memulakan ayat dengan ‘Subhanallah’ dalam surah an-Nisa ayat pertama, menunjukkan kepentingan mekanisme ZIKIR dalam apa jua bentuk penyelesaian kita. Namun ZIKIR tidak akan mendatangkan manfaat jika terpisah dengan FIKIR. Zikir berfungsi mensucikan sangka buruk kita kepada Allah, lantas menutup segala pancaindera kita terhadap nikmat Allah yang cukup luas. Paling penting peranan ZIKIR dan FIKIR perlu disepadukan bagi mencapai kepada penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi.

4. SOLAT juga merupakan kurniaan Allah pada malam Isra’ Mi’raj. Mengapa solat begitu penting kepada manusia, sehinggakan diibaratkan sebagai tiang agama dalam sebuah hadis berbanding ibadah lain seperti mengerjakan Haji atau berpuasa di bulan Ramadhan;

-Solat sebagai MEDIUM PERHUBUNGAN terpenting kita kepada Allah. Umpama telefon bimbit sebagai medium perhubungan kita kepada ibu atau isteri kita, sama ada susah atau senang pasti Si Ibu mengharapkan panggilan dari anaknya, begitulah juga antara kita dengan tuhan. Tuhan sangat inginkan mendengar suara hambaNya, dan solatlah sebagai tempat kita untuk merintih, memohon dan meminta segalanya kepada Allah

5. Penutupnya, solat merupakan rahmat disebalik Isra’ dan Mi’raj. Namun hari ini solat tidak mampu memberi kesan kepada manusia. Antara sebabnya ialah KEKURANGAN DOS. Solat tidak sempurna dan tidak lengkap. Umpama pengambilan ubat yang sepatutnya diambil sehari dua biji kapsul tetapi diambil sebiji untuk 2 hari, maka keberkesanan ubat tidak akan berkesan, kerna KEKURANGAN DOS. Bagaimana dengan kualiti solat kita?

Bersempena dengan kedatangan Ramadhan yang bakal tiba, marilah sama-sama kita menyucikan zahir dan batin kita sebagai persediaan kita bagi menghadapi Ramadhan Al Mubarak. Semoga pada Ramadhan nanti kita dapat menumpukan sebaiknya tumpuan untuk beribadah kepada Allah pada kualitas yang terbaik.

Sekian.

Monday, July 27, 2009

Wo Ai Ni Allah


Ada sedikit butiran jernih yang bergenang, ketika menghabiskan ayat-ayat terakhir di dalam buku Wo Ai Ni Allah, karya Vanny Chrisma W. Kisah Amei Chan dalam misinya mencari Tuhan begitu tragis dan konflik. Menginsafi diri sendiri, walaupun sudah dilahirkan dalam keluarga Islam, namun kadangkala seakan masih lagi memburu ‘pencarian Tuhan’.

Buku ini merupakan bacaan spiritual yang cukup hebat di saat manusia akhir-akhir dunia ini semakin melupakan sang Pencipta yang telah menciptakan keluasan kebaikan kepada hambaNya.

Ketika saya merasakan hati saya dekat kepada Allah, rupa-rupanya jiwa saya sangat jauh dari Allah. Kenal Allah tak seperti kita mengenal sahabat manusia yang lain, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Kerna Pencipta sudah pasti berbeza dengan ciptaanNya.

Buku ini baru sahaja keluar di pasaran dan saya telah membelinya di saat hati saya tergerak untuk ke kedai buku. Pembelian yang sangat berbaloi.

Selepas saya ‘bertemu’ dengan ESQ 165, kini saya bertemu pula dengan ‘Wo Ai Ni Allah’. Saya yakin kedua pertemuan ini atas rahmat dan kasih sayangNya kepada hambaNya. Wo Ai Ni Allah…

Sunday, July 19, 2009

Man U takkan beri peluang malam ini...

1. Pertama sekali tahniah kepada pasukan Pilihan Malaysia kerana berjaya mengurangkan perbezaan gol ketika menentang pasukan Manchester United Sabtu lepas, malahan mampu untuk membolos gawang MU menerusi 2 gol dari Amri Yahya.
2. Jika dilihat pada perlawanan malam itu, benteng pertahanan Man U tampak rapuh dengan ketiadaan Djemadja Vidic yang cedera, walaupun dibarisi oleh Rio Ferdinand dan Jonny Evans.
3. Kemudian dilihat juga pemain Man U 'tidak bersungguh' dalam permainan kelmarin, sambil barisan pertahanan hanya bermain 'sambil lewa', memandangkan ini hanya merupakan perlawanan persahabatan dan tidak mahu pemain mereka terdedah dengan risiko kecederaan.
4. Saya juga yakin ada di kalangan pemain Malaysia yang bermain juga merupakan peminat Man U maka tidaklah mustahil sekiranya mereka mampu membaca kelemahan dan kekuatan para pemain Man U. Pemain Malaysia pula siapa yang kenal? Amri Yahya juga mengaku yang beliau sudah kenal dengan sikap penjaga gol Man U, Van De Saar yang suka keluar di luar petak penalti lantas memanfaatkan peluang untuk gol pertama Malaysia.
5. Namun pujian juga harus diberikan barisan K Rajagopal yang berjaya 'memberi saingan' pada perlawanan kelmarin, tetapi saya yakin Man U tidak akan beri peluang kepada pemain Malaysia malam ini.
6. Saya amat yakin bahawa Alex Ferguson akan mencatur taktik perlawanan yang lebih baik sehingga sanggup menolak tawaran dari Australia untuk mengadakan perlawanan persahabatan, berikutan pembatalan ke Indonesia.

Sekian.

Wednesday, July 8, 2009

Berita Harian kini setaraf Majalah Ujang

Menteri Pelajaran Kebanggaan Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin

Pagi ini saya dihiburkan dengan satu tajuk berita muka depan Berita Harian yang berbunyi "Strategi martabat Bahasa Melayu". Kelakar sungguh bunyinya. Tajuk ini merujuk kepada keputusan kerajaan semalam yang akhirnya akur untuk memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kembali dalam pengajaran bahasa ibunda mulai 2012. Tindakan ini bukanlah satu 'strategi baru' kerajaan tetapi lebih kepada untuk meredakan tekanan yang dihadapi mereka sejak perlaksanaan PPSMI ini mula dilaksanakan. Alasan-alasan yang diberikan seperti "kami telah membuat kajian terperinci", "guru tidak ajar subjek sains dalam BI tetapi dwi-bahasa" hanyalah alasan populis sedangkan perkara ini telah pun dijelaskan oleh pihak-pihak yang menentang PPSMI. Dalam pada itu, Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), Datuk Hassan Ahmad menyifatkan keputusan kerajaan ini dianggap sebagai satu kejayaan rakyat. Sementara itu Pak Menteri Pelajaran juga menafikan bahawa keputusan ada kaitan dengan PRK di Manek Urai. Bangganya aku menjadi rakyat Johor dan rakyat 1 Malaysia. Pastinya Muhyiddin akan dianggap 'hero' kepada rakyat 1" Malaysia" kerana berjaya melaksanakan pelan 'strategi baru' ini untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Monday, July 6, 2009

Ceritera Retreat Pemuda Serdang


Alhamdulillahi Rabbil Alamin. Sekiranya seluas lautan yang ada di muka bumi ini dijadikan dakwat untuk menulis nikmat Allah, maka akan keringlah lautan ini walaupun ditambah lagi dengan 7 lautan yang sama. Begitulah perbandingan yang digambarkan betapa luasnya nikmat yang diberi Allah SWT tercatat dalam kalam suci Quranul Karim.

Hujung minggu lepas aku telah dijemput oleh seorang sahabat untuk ke Retreat Pemuda Kawasan Serdang. Program yang dijalankan selama 2 hari ini diadakan di Karak, Dusun Eco Resort. Jahilnya diri ini kerana baru tahu bahawa Karak itu letaknya di Pahang. Perjalanan ke sana mengambil masa hampir 2 jam bersama-sama 42 orang sahabat pemuda lain, yang rata-rata merupakan Exco Kawasan dan Ketua Pemuda cawangan. Aku hadir atas tiket apa? Tiket percuma dari Allah… Alhamdulillah.

Walaupun program ini dijalankan pada waktu yang agak singkat, namun tetap padat diisi dengan beberapa pengisian. Setibanya di sana, kami terus sahaja makan tengahari, solat dan check-in sebelum bermulanya sesi taaruf yang dikendalikan oleh KP Kaw Serdang, Mohd Adram Musa, juga Bendahari DPP Pusat. Pada sebelah petang, kesemua peserta berpeluang untuk melakukan aktiviti flying fox. Lucu juga melihat 2-3 sahabat yang pada fizikalnya tampak ‘gagah’ dan ‘garang’ namun bila meniti jambatan gantung bermacam ragam yang ditunjukkan. Terdengar suara-suara nakal seperti

“ala ustaz, bila berceramah bukan main lagi..gedegang..gedegang..ni nak naik jambatan pun takut..hehe”, “takpa ustaz, ni kalau jatuh pun kita mati dalam perjuangan juga nih..heheh”.

Sebelum menuju ke kawasan untuk penerjunan flying fox, para peserta perlu melalui dahulu jambatan gantung, berketinggian hampir 100 kaki. Tidaklah terlalu tinggi jika hendak dibanding dengan jambatan gantung yang ada di tempat lain tapi boleh tahan juga gayatnya. Sewaktu melakukan penerjunan, perasaan bercampur baur. Rasa gayat pun ada, gementar dan teruja. Saat ini memperingatkan saya kepada pengalaman yang diceritakan oleh Ustaz AA Gym dalam program bulan Ramadhan di Astro Oasis.

“Bagaimana harus kita mengenal erti keberanian sekiranya kita takut untuk melakukan bungee jumping

Sewaktu itu beliau menceritakan pengalaman beliau melakukan penerjunan bungee jumping, semata-mata mahu mencabar dirinya agar menjadi lebih kuat jiwanya dengan keberanian. Ternyata bagi beliau mahu mencuba lagi selepas melakukan untuk kali pertama. Tambah beliau lagi, keberanian perlu dididik melalui pengalaman kita melakukan aktiviti-aktiviti seperti ini.

Berbalik kepada pengalaman di Dusun Eco Park ini, antara pengisian lain ialah ceramah oleh Saudara KP kami, membincangkan bagaimana untuk menguruskan sumber-sumber dalam menggerakkan tindakan-tindakan yang ditetapkan oleh jemaah. Kemudian pada esoknya seperti biasa qiamullail dan kuliah subuh. Sesudah itu untuk slot pagi diisi oleh Saudara Sabky Yusof, naib KP Pusat. Pengisian yang agak panjang lebar berkenaan pengurusan bagi memperkukuh organisasi parti. Saya sedikit teruja melihat gerak kerja dan program-program yang disusun oleh pemuda Kaw Serdang, mengingatkan saya kepada kaw saya sebelum ini di Pulau Pinang betapa keringnya dengan perancangan aktiviti, dengan jawatankuasa yang keluar masuk. Masing-masing mahu menolak yang lain, tiada siapa yang sanggup memegang amanah. Begitulah ceritanya dalam sebuah gerakan Islam, tiada/ jarang sekali yang menawarkan diri untuk merebut jawatan. Pengisian terakhir program ini sebelum resolusi ialah ceramah yang bertajuk Wehdatul Fiqh oleh YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, difahamkan beliau merupakan KP T’ganu. Pengisian ini membincangkan tajuk Thiqah sebagai Pengukuh Jamaah. Tajuk ini begitu penting untuk difahami oleh setiap ahli gerakan yang berada dalam parti berikutan isu unity government yang begitu hangat dibincangkan kini, sehinggakan bermacam-macam ragam ditunjukkan oleh ahli bawahan (grass root). Menurut beliau thiqah merupakan perkara yang sangat penting dalam kehidupan dakwah dan gerakan Islam. Seorang ahli gerakan yang tidak mempunyai thiqah tidak dapat membantu dakwah, kepimpinan dan kemenangan jemaah. Thiqah secara mudahnya bermaksud percaya; yakni penyerahan kepercayaan seterusnya diikuti dengan membenarkan dan mengikutinya. Paling utama ialah thiqah kepada Allah, kerana ia merupakan pembentukan ke arah keimanan yang mantap, aqidah yang kukuh, keyakinan yang teguh dan ketenangan hati kepada Allah. Sebab itulah kekuatan jiwa serta keyakinan para sahabat dahulu cukup kuat kerana Rasulullah SAW telah menggarap thiqah ini ke dalam diri para sahabat, terutama sekali ketika mana mereka berada dalam kebimbangan dan ketakutan kerana kepungan tentera al-Ahzab. Selain itu, setiap ahli gerakan juga perlu thiqah dengan manhaj PAS dalam tarbiyyah, dakwah dan politik; selagi mana jemaah ini menjadikan al-Quran, hadis Nabi, Ijma’ dan Qias sebagai rujukan yang bergerak melalui amal tarbawi, amal siasii, amal jihadii, amal ijtima’ dan seluruh amal Jemaah. Demikian juga ahli PAS perlu menerima dan taat apa jua pendekatan politik yang digunakan; muwajahah silmiyyah, tahaluf siasii dan lain-lain. Muwajahah silmiyyah kita boleh mengambil ruang-ruang kebebasan yang ada dalam sistem bukan Islam seperti demokrasi dan lain-lain untuk menyampai dan menerangkan perjuangan Islam.

Selepas thiqah kepada manhaj, perlu ada thiqah kepada kepimpinan. Para sahabat suatu masa dahulu telah menunjukkan thiqah mendalam kepada Rasulullah, pemimpin mereka walaupun berada dalam kekhilafan pandangan sebagaimana berlaku dalam perjanjian Hudaibiyyah. Pada waktu itu saidina Umar berpendapat perjanjian Hudaibiyah tidak memberi kebaikan kepada umat Islam dan memohon Abu Bakar memujuk Rasulullah agar menarik balik perjanjian tersebut. Kemudiannya Abu Bakar berkata; “Wahai Umar! Beriltizamlah kamu dengan keputusan Baginda. Sesungguhnya aku menyaksikan bahawa baginda adalah Rasulullah”, lantas Umar menjawab “Aku juga menyaksikan bahawa baginda adalah Rasulullah”

Akhir sekali YB telah mengingatkan kepada semua peserta yang hadir agar tidak mudah terpengaruh dengan propaganda dan khabar angin yang disebarkan oleh pihak musuh. Seperti mana kata-kata Timbalan KP Serdang sewaktu usrah bulanan, “jangan kita mendengar berita dari sumber-sumber yang berwahyukan akhbar perdana, dan diriwayatkan oleh bloggers dan laman-laman web tertentu yang belum tentu kesahihannya”.

Penutup program dikonklusi dengan beberapa resolusi bagi memperkuat dan memperkasa organisasi serta gerak kerja DPPK Serdang, serta menyediakan KPI bagi setiap program yang direncana. Perjalanan pulang ke KL pula tidak terasa keletihannya kerana mendengar celoteh sahabat aku Nizar ni yang dari Karak sampaila ke Pej DUN semula asyik bercerita tanpa henti. Hehe..jangan marah bro

Lontaran Ke Hadapan


Masih teringat lagi kata-kata seorang penceramah motivasi suatu ketika dahulu di Pulau Pinang, "Lontaran batu ini akan jauh lebih kuat sekiranya kita meletakkan sasaran yang lebih jauh, pasti berbeza kudratnya jika dilontar ke jarak yang lebih dekat."
Beliau yang lebih suka untuk dipanggil Pak Leh berucap di hadapan kira-kira 20 perserta Kem Motivasi anjuran Nisa' dengan penuh bersemangat. Kagum seketika kau melihat Pak Leh ini sehingga aku terlupa yang dia sudah berumur hampir 50an. Semangat juangnya cukup kuat, tersembunyi disebalik kurus tubuhnya. Beliau cukup dikenali dikalangan aktivis-aktivis PAS serata Pulau Pinang.
Begitulah juga keadaannya dengan visi dan misi kita. Sekiranya jauh misi yang kita sasarkan, pasti usaha yang kita lontarkan juga lebih besar. Bagaimana sekiranya misi hidup kita ala-ala kadar sahaja, pasti lontaran perjalanan hidup kita biasa-biasa juga.
Pernah tak anda rasa hidup ini 'kosong', membosankan dan tak tenteram?Mari kita sama-sama check misi hidup kita. Ingati semula kalimah yang kita lafazkan sekurangnya 5 kali sehari?

bersambung...

Wednesday, July 1, 2009

The Complement

Kepingan terakhir puzzle ini akan melengkapkan keseluruhan puzzle. Maka akan sempurnalah hiasan pada kepingan-kepingan puzzle ini. Cantik dan berguna. Bukanlah mudah untuk menyiapkan sesebuah puzzle ini, terutamanya pada peringkat awal susunan. Namun semakin lama semakin mudah dah kita pastinya semakin bersemangat untuk melengkapkan misi. Pada saat inilah kepuasan optimum dirasai oleh mereka yang telah bersusah payah untuk melengkapkan kepingan puzzle ini.

Saya kini sedang mencari kepingan terakhir ini untuk melengkapkan misi hidup saya. Anda tahu jawapannya?