BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, September 15, 2009

Sudah 23 tahun


Beberapa jam sebelum memasuki hari ke-15 di bulan September, tiba-tiba masuk SMS kiriman daripada bro Yus. Beliau menyatakan zaujahnya;kak Siti Syarifah selamat melahirkan bayi perempuan kira-kira jam 11 malam. Alhamdulillah lahir lagi bakal kader-kader dakwah yang bakal menentukan ‘urus tadbir’ bumi nanti, sama ada Islam yang berjaya ditegakkan atau sebaliknya.

***
15 September hari ini mungkin tarikh yang istimewa dan bersejarah bagi aku, kerana 23 tahun yang lalu aku dilahirkan sebagai seorang bayi. Lahir dalam keadaan yang suci bersih, bersih dari pelbagai bentuk kotoran yang berbentuk lahiriah mahupun dari kotoran batiniah (dalaman). Setelah 23 tahun, ternyata sekali aku sudah ‘tidak suci’ seperti dulu, maka aku mengharapkan Ramadhan yang datang buat kali ke-23 ini dapat membersihkan segala kotoran yang menyeliputi diri dan mengembalikan semula ‘kesucian’ tika saat diriku dilahirkan. Ianya bukanlah suatu yang mustahil, kerna Allah itu bersifat Maha Pengampun dan sama sekali Maha Menyucikan.
Hari ini banyak juga dikirimkan ucapan Selamat Hari Lahir, sama ada dalam bentuk SMS, Friendster dan paling meriah dalam Facebook. Sedikit mengejutkan pabila ucapan diterima daripada saudara Syed Izzat Mirwana; mungkin sekadar meraikan peminatnya, tapi ada rasa ‘gembira’ juga dalam hati. Mana taknya beliau antara vokalis yang paling aku kagumi antara vokalis nasyid yang lain.
Tak dilupa daripada sahabat lama Sains Johor; N classmate lama sejak form 1 sampai form 5. Boleh jadi dia ini juga yang menyamar sebagai Hisservant, sekarang pelajar perubatan di UIAM, Kuantan. Rajin sekali memberikan komentar-komentar yang berbentuk teguran dan sumbang saran dalam hampir setiap artikel yang dipaparkan dalam blog. Juga daripada senior yang agak popular di sekolah dulu, Mohamadatul Shawalee; tapi dia juga yang paling ‘tidak diketahui berita’ selepas meninggalkan sekolah.

***
Kata Ustaz Pahrol, setiap kali kita menyambut hari lahir kita, bermakna kita semakin hampir kepada tarikh kematian kita. Maka ucapan yang harus kita sampaikan kepada mereka yang menyambut hari lahir ialah ‘Selamat PENDEK umur’, bukannya ‘selamat panjang umur’. Selamat PENDEK umur bermaksud, semoga umur kita yang semakin PENDEK itu akan terus SELAMAT. Selamat dari pengisian umur yang bermanfaat dan selamat dari sebarang noda-noda dosa.

Sekian, terima kasih.

Pejabat PAS Serdang,
10.55 pm

Tuesday, September 8, 2009

Bangsa MEREKA Bangsa MEMBACA

Antara peristiwa terpenting yang berlaku di bulan Ramadhan, ialah berlakunya peristiwa Nuzul Quran. Sebagaimana yang ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk dan perbezaan (antara yang benar dan yang batil)… "
(Al-Baqarah: 185)

Hakikatnya, kitab suci al-Quran yang diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW bukan sekadar sebuah kitab biasa tetapi untuk menjadi pedoman hidup atau petunjuk (hidayah) bagi umat manusia, memberi rahmat, syifa', ketenangan, peringatan, penjelasan, sekali gus sebagai mukjizat atas kenabian Muhammad SAW.

Seharusnya peringatan Nuzul al-Quran ini menjadi momentum bagi kita sebagai umat Islam untuk menilai kembali sejauh mana kita memahami dan menghayati isi kandungan al-Quran, apatah lagi di bulan rahmat, bulan Ramadhan al-Mubarak ini. Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca tanpa difahami, tetapi perlu untuk dikaji dan dihayati agar segala kehebatan al-Quran itu mampu untuk diterjemah dalam aplikasi kehidupan seharian kita.

Imbas kembali bagaimana peristiwa penurunan al-Quran yang berlaku di Gua Hira’, dimana Nabi SAW yang berkhalwat disitu pada malam Jumaat, tepat 17 Ramadhan didatangi oleh Jibrail as. Ayat pertama yang diajarkan kepada nabi SAW ialah “Bacalah” (Al-Alaq:1)

Sebut tentang MEMBACA, saya teringat ketika berkunjung ke Popular Book Fest di KLCC beberapa minggu lepas. Kunjungan ke sana pun atas dasar tugas, mengiringi penulis baru dari KarnaDya, Salbiah Salleh yang melancarkan buku barunya; Hidangan Bajet Caraku. Agak teruja apabila melihat begitu ramai orang yang berkunjung ke sana untuk mencari bahan-bahan bacaan. Sesaknya sama seperti sesaknya ketika berada di pasaraya Tesco, Giant mahupun Mydin atau Carrefour. Namun yang lebih menggetarkan ialah melihat bangsa Cina memonopoli sebahagian pengunjung yang hadir. Tidak kira lapisan umur, dari kanak-kanak sehinggalah dewasa. Malah dalam kategori warga emas juga tidak sedikit yang berada disitu bersama-sama dengan se’bundle’ buku yang yang banyak. Manakala buku yang dibeli juga bukan buku-buku kartun, komik ataupun buku-buku seperti Mastika dan Mangga. Kesemuanya buku—buku yang berkulit keras dan berhalaman tebal yang menjadi pilihan.

Tidak dinafikan bahawa Popular book Fest ini dianjurkan oleh bangsa Cina sendiri, maka kebanyakkan buku-buku yang ada pun dalam bahasa cina. Cuma dari satu sudut yang lain saya teringatkan bangsa saya sendiri. Bayangkan dalam masa 10-20 tahun akan datang bagaimana keadaannya dengan bangsa kita. Orang cina banyak menghabiskan masanya bersama buku, dan bangsa kita banyak menghabiskan masa dengan lepak-lepak, menonton TV, gossip-gosip, SMS-SMS rancangan realiti. Sekiranya anda yang membaca tulisan ini bukan bangsa Melayu, maka anda tidak perlu risau.

Sekian.

Apartmen Bangi Idaman,
43650 Bandar Baru Bangi.