BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, October 24, 2009

Blog yang semakin berhabuk...


Kali ini betul-betul tercabar rasa nilai istiqamah. Bukan senang rupanya nak konsisten menulis. Dalam keadaan yang tidaklah begitu sibuk mana, tetapi kadang-kadang rasa MAMPU untuk menulis itu juga terhalang. Ada sahaja halangan, kadangkala dalam satu hari terlalu banyak yang ingin dikongsikan sehingga terpaksa pilih mana satu tajuk yang hendak di'blog'kan. Kadangkala pula sehingga berminggu-minggu pun tiada apa yang hendak ditulis. Inilah salah satu cabaran dalam menulis.

Kalau saya boleh pinjamkan kata-kata A Samad Said; ketika ditanya oleh Faisal Tehrani apakah tips-tips berguna untuk jadi penulis? dan beliau berkata jika mahu menulis tips 1=membaca, tips 2=membaca, tips 3 =membaca, tips 4=membaca dan tips 5=menulis. Maka sebenarnya jika mahu menulis mesti banyak membaca, baru ada idea untuk ditulis. Baru ada rasa passion untuk menulis.

Siang tadi baru selesai program TOT (Traning of Trainers) II, dengan Ust Hasrizal Abd Jamil sebagai moderator program. Wah sudah lama tidak merasa se'letih' ini. Sejak terjun ke alam pekerjaan ini memang agak kurang untuk ke program-program ilmiah, walaupun hakikatnya di Bangi ini cukup bersepah kuliah-kuliah agama. Pengisian ustaz tadi memang cukup bermakna, cuma sayang bila dah ditugas sebagai urusetia maka tak banyak yang boleh dikutip tetapi saya kira sudah memadai. Teori ustaz yang begitu popular, ERTI HIDUP PADA MEMBERI cukup-cukup ditanam kepada para peserta tadi. Dan secara jujurnya beberapa penjelasan ustaz tadi dah banyak membantu merungkaikan beberapa persoalan yang selama ini dipendam, yang selama ini tidak boleh dijawab oleh YDP PMI, yang tak boleh dijawab oleh TP Lajnah, yang tidak boleh dijawab oleh para ustaz dan imam Masjid Al-Khalid Malik, tetapi akhirnya jawapan itu hadir di dalam Perpustakaan Daerah Hulu Langat ini. Subhanallah, rasa seperti dilahirkan semula. Begitu banyak kesilapan dan ketidak matangan saya selama beberapa tahun ini.

Harapan saya selepas ini hanya satu, agar selepas ini akan terus gigih menulis. Setelah beberapa bulan dikorbankan untuk KarnaDya Solutions, semata-mata mahu belajar untuk menulis. Moga selepas ini akan terus untuk mencetuskan sesuatu.

Kata-kata terakhir oleh Ustaz Hasrizal tadi, " MEMBERILAH selagi masih mampu untuk MEMBERI di dunia ini, kerana di akhirat nanti anda hanya akan mampu untuk MENERIMA. MEMBERI dengan syarat ikhlas dan dengan kasih sayang"

Rest Twenty Three, Kajang
2145

Saturday, October 3, 2009

Peringatan dari Tuhan

kejadian aneh bila matahari seperti dikelilingi 'cincin' ketika kerja-pembersihan di Kota Padang, Sumatera

seorang lelaki bersama keretanya yang ranap dalam kejadian gempa di Padang, Sumatera

Di sebalik kehangatan kepada hari penamaan calon di Pilihanraya Kecil Bagan Pinang hari ini, di sebalik keghairahan kepada perlawanan pertembungan dua kelab gergasi Chelsea-Liverpool malam ini, ada yang sedang bersedih di sekitar negara-negara jiran kita. Gempa bumi yang berlaku di kawasan Sumatera, ribut taufan yang melanda kawasan Manila, dan tsunami yang menyerang Samoa. Amat-amat jarang berlaku 2-3 bencana dalam masa yang hampir serentak.

Surah An-Nisa sudah jelas menjelaskan pada ayat ke 79 yang bermaksud,Apa saja nikmat yang kamu peroleh adalah dari Allah, dan apa saja bencana yang menimpamu, maka dari (kesalahan) dirimu sendiri.

Mustahil bagi Allah bersifat zalim, tetapi yang ada adalah sifat Ar-Rahim, yang Maha Mengasihani. Bencana alam yang berlaku ini tidak seharusnya dipandang sebagai bencana alam biasa, tetapi mesti dijadikan sebagai sempadan, muhasabah dan tempat untuk mengoreksi diri. Bencana bukan hanya soal kerakusan pemimpin yang suka mengekploitasi alam, pemimpin dan pegawai kerajaan yang korup menguruskan projek-projek tertentu tetapi bala itu datang juga apabila maksiat berleluasa di kalangan masyarakat. Seorang bloggers dari Indonesia turut mengakui dalam tulisannya menyatakan bahawa di Indonesia hampir setiap hari berlaku kecurian, perompakan, kes rogol, dan kisah ketua-ketua jabatan yang gila kuasa. Sementara di jalanan, masyarakat mereka sangat gemar berdemonstrasi dengan melakukan aksi-aksi anarkis yang menjelikkan, dan menjelik-jelikkan antara satu sama lain. Justeru bencana alam yang berlaku di Padang itu ialah sebagai jawapan dari Allah kepada apa yang dilakukan oleh hambaNya. Di Malaysia senarionya juga hampir sama, maka tiada mustahil musibah yang melanda jiran-jiran kita turut terkena kepada kita. Kembalilah manusia kepada kebenaran, kembalilah manusia kepada Tuhan yang Esa. Sesungguhnya masih ada ruang dan masa untuk kita kembali kepadaNya selagi mana kita masih mampu bernafas di alamNya ini.

Apartment Bangi Idaman,
1625

Friday, October 2, 2009

Yang BERAGAMA pun bukan jaminan?


Beberapa hari lalu, selepas pulang dari bercuti Aidilfitri saya menemani rakan serumah yang bakal berpindah ke rumah baru, kerana beliau baru sahaja membina rumah tangga dengan pilihan hatinya yang kini masih lagi belajar. Sepanjang perjalanan di dalam kereta,saya sempat bergurau dengan beliau berkenaan calon-calon yang harus diteliti sebelum di ‘finalise’ untuk dijadikan calon isteri.

“Zaujah abang amik kos ape di KUIS?” saya memulakan bicara. Bukan mahu tahu sangat latar belakang isterinya itu tetapi sekadar meraikan sahabat yang baru berumah tangga.

“Dia ambil Pengajian Dakwah Usuluddin, diploma aje” jawab beliau merendah diri. Sikap begitu menyebabkan beliau sangat disenangi dan mudah bergaul dengan ramai orang.

“wah, untung la abang. Dapat zaujah ustazah tu… bahagia hidup” gurau saya, sekadar untuk mengusik.

“Hehe… Alhamdulillah. Tapi ustazah pun belum tentu bahagia hidup dik” jawab beliau mendatar. Tanpa sedikit pun riak senyuman. Sedikit bernada serius.

Belum sempat saya bertanya mengapa, beliau menambah lagi, “ciri BERAGAMA yang Rasulullah SAW telah sandarkan itu begitu luas konteksnya. Yang BERAGAMA itu tak semestinya dia ada kelulusan agama.”

Kali ini helah saya menjadi, sekadar mahu menghangatkan dan membuka ruang untuk berbicara dan berkongsi sesuautu. Saya menjawab lagi, “ha’ah la kan, ada seorang ustazah kat Malaysia ni lulusan PhD dalam lulusan agama, tapi boleh pulak nak lawan hukum Allah. Tapi ada seorang ustaz tu lulusan diploma Teknologi Makanan aje, tapi dia punya pikir agama dahsyat. Futuristik. Buku-buku tulisan dia semua meletup, saya pun antara followers dia.”

“ada beza antara orang yang TAHU agama dengan orang yang FAHAM agama. Orang yang TAHU agama belum tentu FAHAM agama, tapi yang FAHAM agama insyaAllah TAHU agama,” beliau menambah lagi.

“ana pernah baca satu artikel kat blog ustaz Hasrizal, bagi dia pula… yang BERAGAMA itu mesti FAHAM BERAGAMA dan MAHU BERAGAMA. Bukan sekadar TAHU AGAMA, kerana ramai juga dikalangan mereka yang masih kurang jelas FAHAM AGAMANYA.” Aku menambah sebagai tanda setuju.

“Paling penting ialah nta mesti ada‘perasaan’ dengan bakal nta tu. Kadangkala manusia terlalu jumud bila berbicara soal yang BERAGAMA, terlalu ‘lurus’ fikirnya. Asal BERAGAMA aje kira okey aje, yang lain tak tengok terus. Soal jodoh ni terlalu misteri untuk difikirkan, kerna semuanya telah ditetapkan Allah sebelum kita lahir lagi. Sehebat mana pun perancangan kita, perangan ALLAH lagi MAHA HEBAT” dia perluaskan lagi konsep beragama, sambil matanya tetap fokus kepada pemanduan, terus membelok kea rah Bukit Mahkota.

Akhirnya masing-masing terdiam, sahabat saya terus fokus kepada pemanduannya. Saya masih lagi melihat-lihat blok-blok bangunan di sekitar taman tersebut, sambil di kepala memikirkan tentang diri sendiri. Mana mungkin aku sudah mampu mendabik dada bangga dengan mungkin bakal memiliki seseorang yang akan memakai title ‘ustazah’. Mudah-mudahan dialah yang terbaik untukku. Sesungguhnya Allah itu maha Mengetahui tiap-tiap yang ada pada hati hamba-hambaNya.

Bandar Putera Mahkota,
1210