BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, February 6, 2010

Ketupat Cinta; Yang tersurat dibalik yang tersirat.


Saya baru terperasan bahawa Ketupat Cinta ini merupakan satu-satunya novel yang pernah dibeli dengan penulisan sasteranya yang begitu diluar kemampuan saya untuk membaca dan memahamnya. Nilai dalam penulisan ini cukup tinggi, tinggi dari segi nilai kesusasteraannya, tinggi dari segi nilai falsafahnya, dan tinggi dari nilai perdebatannya. Mujur nilai harganya masih mampu untuk dibeli. Tidak mudah untuk menghabiskan setiap helaian naskhah ini, dan jika tidak dibaca sekali habis pasti tidak akan ingat kisah yang sebelumnya. Banyak perkataan dan konsonan baru yang saya pelajari. Rasanya bahan bacaan KOMSAS ketika SPM dulu juga tidak sebegini rupa, memandangkan dahulu saya berlatarkan belakangkan sains.

Sedikit latar belakang, Ketupat Cinta ini mengisahkan seorang tukang masak Istana Melaka yang terulung bernama Tun Lepat. Kehebatan beliau di dapur istana bukan calang-calang, namun pelbagai kisah suka duka yang diharungi beliau di dalam Istana Melaka tersebut. Ada kisah bagaimana dia berdepan politik dapur, kisah asal usul kuih tepung gomak, cerita tentang iman dan makanan, juga kisah budaya dan pemikiran. Namun tiba-tiba beliau ditangkap dan disumbat di dalam penjara.

Ada sesuatu mesej tersirat di balik tulisan Faisal Tehrani ini. Jika anda selalu membaca tulisan beliau di dalam blognya, faisaltehrani.blogspot.com, mungkin anda akan ‘memahami’ maksud disebalik yang tersirat di dalam tulisannya ini. Jika anda memahami keadaan masyarakat di Malaysia, jika anda faham situasi politik kini, jika anda faham nasib umat Melayu kini maka saya jamin anda tidak akan jemu malah seronok membaca novel ini. Saya tidak berani memberikan contoh yang saya terperasan, bukan kerana bimbang ditangkap seperti terjadi kepada Aduka Taruna, Raja Petra dsb. Memang benar ada isu sensitif yang di’watakkan’ dalam novel ini Cuma terpulang kepada pembaca untuk menilainya. Dari sudut positif, inilah yang berlaku dalam masyarakat kita kini. Kemungkaran berleluasa, penindasan merata-rata, manusia telah lupa asal usul mereka. Seperti biasa, nilai-nilai keagamaan juga tidak lepas untuk dimuatkan di dalam tulisannya ini.

Antara keunikan dalam yang menarik perhatian saya ialah hampir setiap bab dalam cerita ini dinamakan sempena nama beberapa makanan masakan tradisional. Dan di bab itu juga dihuraikan lengkap berkenaan resipi untuk menyiapkan makanan tersebut, ataupun disebutkan asal-usul bagi makanan tersebut. Misalnya Roti Chennai Tun Senja,Ayam Buah Keluak Tun Nyonya, Laksa Champa Lo’Lo Ganish dan pelbagai lagi. Cukup menarik. Naskhah yang patut dimiliki sebagai koleksi bacaan anda.

Sekian.

Bandar Seri Putra
1741

1 comments:

ana said...

buku yang menarik, moga ada lagi kupasan buku selepas ini