BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, February 1, 2010

Maaf dari Sorga


Maaf dari Sorga ini menurut penulisnya, Faisal Tehrani (FT) merupakan karyanya yang mula-mula dihasilkan semenjak di bangku persekolahan lagi. Akhirnya manuskrip ini diterbitkan setelah bertahun-tahun beliau bergelar sebagai pengarang, lantas dalam tempoh tersebut manuskrip ini mengalami proses pembaikan dan pemurnian secara berperingkat. Menurut penulisnya lagi, karya ini ditunjangi oleh beberapa ideologi dan etika keislaman, misalnya dengan pengaruh ‘Risalah Usrah’ oleh Abu Urwah (YB Saari Sungib), sebuah ‘kitab’ yang amat popular tika di zaman kampus.

Saya tidak mengambil masa yang banyak untuk menghabiskan novel ini. Membaca helaian demi helaian akhirnya tidak sampai beberapa jam sudah berjaya dihabiskan sehingga ke muka akhir. Membaca tulisan FT jika tidak dibaca huruf demi huruf, perkataan demi perkataan tidak akan mendatangkan keseronokan membacanya. Gaya penulisan beliau yang lazimnya berbentuk satira (tersirat) kali ini lebih santai tetapi tidak terlepas dengan isi yang padat dengan wacana. Gaya tulisannya seakan memukul minda pembaca dengan pelbagai isu-isu semasa yang kadangkala dipejam matakan oleh masyarakat. Beberapa isu yang cuba diketengahkan dalam novel ini seperti isu riba dalam sistem ekonomi negara, kepercayaan perkara-perkara tahyul dalam masyarakat dan akhir sekali sikap liberalisasi dalam beragama.

Secara kasarnya, Maaf dari Sorga ini mengisahkan sebuah rumah bernombor 33 yang menyimpan pelbagai misteri dan telah dianggap berhantu. Penyewanya silih berganti dan kebanyakkan mereka akhirnya menemui kecelakaan. Ada yang mati terbunuh, ada yang secara tiba-tiba menjadi gila akibat pergaduhan rumah tangga dan sebagainya. Sehinggalah kepada penyewa yang terbaharu bernama Hakiki, seorang pegawai bank berfikiran liberal bersama isterinya yang mualaf telah turut diganggu oleh peristiwa aneh dan menakutkan. Sehinggalah akhirnya mereka menemui jalan keluar kepada kesengsaraan tersebut.

Bagi saya mesej utama yang ingin disampaikan oleh penulis ini ialah bagaimana “Takwa” itu berfungsi di dalam kehidupan kita. Seperi firman Allah dalam ayat seribu dinar, ayat 2-3, Surah At-Talaq;

"...barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya. Dan Dia memberikan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya..."

.Formula takwa yang ditemui oleh watak utama cerita ini bukan sahaja telah menyelesaikan masalah rumah yangberhantu tersebut, malah telah menyelesaikan masalah-masalah lain yang telah dipendamnya selama bertahun-tahun. Akhirnya mereka telah menemui jalan keluar, jalan kehidupan yang penuh bahagia dan barakah, beserta dengan keredhaan Allah SWT

1059
Muar, Johor

0 comments: