BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, February 4, 2010

Nikmat kemanisan rasa cendol


Suatu hari selepas usai menunaikan solat Jumaat saya diajak oleh sahabat untuk singgah ke sebuah warung tepi jalan, untuk menikmati semangkuk cendol. Sahabat saya mendakwa cendol disitu adalah antara yang paling sedap pernah dirasai. Saya pada awalnya tidak percaya kerana bagi saya cendol paling sedap di ‘dunia’ ini ialah di Pulau Pinang, terutamanya cendol yang dijual dikaki lima Charowsta.
Setelah saya menyuap sedikit ke mulut, saya kaget. Rupa-rupanya cendol ini lagi sedap dari cendol pulut di Penang. Ais yang dikisar cukup halus dan teliti sehingga tiada sedikitpun ais berketul berada di dalam mangkuk tersebut. Cendolnya juga lembut dan kenyal, warna hijaunya juga sekadar seadanya dan tidak terlalu terang, menambah lagi selera untuk dimakan. Disertakan juga beberapa kacang merah yang manis dan lembut, bila dikunyah terasa kemanisannya hingga ke tulang rusuk. Dan kompenen paling penting, pulutnya juga enak tak terhingga. Lembut dan kenyal seadanya. Begitulah serba ringkas gambarannya, jika mahu rasalah sendiri. Hnaya beberapa kilometer dari pintu masuk kedua UKM, Bangi.
Terlalu teruja dengan kelazatan cendol tersebut, pada keesokannya saya datang lagi ke situ. Saya datang pada waktu itu sudah agak lewat petang, dengan cuaca di langit agak gelap mendung. Sebelum itu saya sempat menjamah makanan lain memandangkan saya tidak mengambil makan tengahari.
Namun kali ini saya menikmati cendol tersebut dengan perasaan yang berbeza. Sebenarnya tiada apa yang beza dengan rasa cendol tersebut, masa sedap dan lazat seperti semalam. Cumanya saya merasakan semalamnya agak ‘lebih nikmat’ berbanding hari ini. Saya cuba meneka apa yang tidak kena. Akhirnya saya baru perasan, yang semalam saya baru pulang dari suatu program di Bangi, ditambah dengan tekak yang memang haus serta cuaca yang amat terik. Pada hari ini, perut saya sudah kekenyangan, dan cuaca redup dibumbungi awan mendung. Kesimpulan yang saya dapat, kepuasan dan kenikmatan hanya akan diperolehi sesudah kesusahan dan keperitan yang mendahului.
Analoginya, katakan Ahmad mengidami sebuah kenderaan Toyota Hilux, lantas dia pun bersusah payah bekerja untuk mengumpulkan wang. Setelah beberapa tahun, Ahmad pun berjaya mengumpul wang sebanyak kira-kira RM65,000 dan membeli kenderaan tersebut secara cash. Apa yang Ahmad rasa… berbanding satu lagi situasi dimana jika Siti merupakan seorang anak kepada hartawan, kemudian apabila Siti mengidami kenderaan tersebut dia hanya perlu berjumpa kepada ayahnya dan kemudian, kenderaan tersebut berada di hadapan matanya. Apa yang dirasai oleh Ahmad dan Siti pasti berbeza, walaupun hasilnya adalah sama iaitu kedua-duanya telah memiliki kenderaan idaman.
Kesusahan dan keperitan hidup, ujian dan musibah yang menimpa kadangkala Allah turunkan sebagai tanda kasih dan sayangnya kepada kita, lantas setelah meyakini bahawa setiap kesusahan itu akan disertai juga dengan kemudahan, menambah rasa manis hanya pabila sabar itu menjadi daya tahannya.
Seorang pelajar universiti begitu gembira dan teruja menerima ijazah pada waktu konvonya, setelah dia bertungkus lumus di dalam pelajarannya dalam keadaan kesusahan dan kepayahan.
Seorang ahli politik yang memenangi kerusi ADUN setelah berjaya mengalahkan lawannya pasti merasakan lebih puas berbanding yang hanya menang tanpa bertanding, atau menang kerana calon lawan menarik diri.
Begitulah dengan perihal cendol tadi. Kelazatannya lebih terasa hanya ketika perut kosong dan tekak yang haus, berbanding ketika perut yang penuh terisi.
Syarat untuk mendapatkan kenikmatan itu hanya datang selepas kita telah melalui kesusahan dan kepayahan. Benarlah kata pepatah, ‘bersusah-susah dahulu bersenang senang kemudian.’

Bandar Seri Putra, Kajang
2145

0 comments: