BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, November 15, 2009

Perempuan Berkalung Serban Papar Pemikiran Skeptikal Agama

“Allah melaknat isteri yang menolak kehendak suami di atas kamar, tetapi mengapa tiada hadis yang menyebut Allah melaknat suami yang menolak kehendak isteri.” Begitulah antara petikan dialog dalam filem ‘Islami’ Indonesia, Perempuan Berkalong Serban. Atas nasihat seorang sahabat saya mencari trailer filem ini di youtube.com, tetapi yang dijumpai bukan sahaja Trailernya sahaja malah episod penuh. Maka dengan kelajuan internet tanpa wayar di sebuah restoren ini, saya pun memuat turun episod ini secara berperingkat. Setelah beberapa bulan, baru hari ini saya membuka filem yang telah dimuat turun ini untuk dipertontonkan di laptop.

Menonton dari sedikit demi sedikit, sudah nampak ada unsur-unsur liberalisme yang diselitkan. Antaranya seorang bapa yang begitu jumud menidakkan anak perempuannya untuk keluar walaupun bersama rakan muhrimnya, seorang guru agama mengajar sesuatu yang juga dikira sebagai sempit apabila mengatakan bahawa golongan wanita itu akan dilaknat oleh Allah apabila meminta cerai kepada suaminya. Ada beberapa lagi petikan dan adegan yang menyentuh berkenaan penafian hak wanita, seolah-olah Islam begitu merendahkan wanita. Mungkin saya tidak mahu terburu-buru menuduh filem ini filem Liberal, lantas saya pun memilih untuk menontonya sehingga habis. Ternyata segala persoalan-persoalan tadi tidak dinyatakan dengan jelas maksudnya, persoalan tadi dibiarkan tergantung justeru penamat cerita ini tidak memberikan ‘kemenangan’ kepada Islam. Cukup-cukup dibimbangi sekiranya filem ini ditonton oleh mereka yang ‘tidak faham’ Islam, malah lebih menakutkan jika ditonton oleh golongan bukan Islam!

Beberapa jam sebelum saya membuka filem tersebut, iaitu pada sebelah petangnya, saya berkesempatan membelek majalah Solusi; isu No 12. Sebuah majalah terbitan Telaga Biru yang telah beberapa minggu dibeli tetapi baru berkesempatan untuk membacanya. Membaca sebuah artikel oleh Ustaz Hasrizal Jamil (saifulislam.com) bertajuk Gejala Pemikiran Skeptis Terhadap Agama.

Tahukan kita apa itu pemikiran skeptis? Menurut ustaz Hasrizal adalam artikelnya, pemikiran skeptis terhadap agama itu sebenarnya berperingkat.

1. Sinis kepada beberapa aspek dalam ajaran agama.
Misalnya sinis dengan hukum membasuh jilatan anjing dengan tanah, atau soal menutup aurat.

2. Sinis terhadap institusi agama.
Contohnya ialah anti ‘orang masjid’, atau mungkin ditujukan kepada pihak berkuasa agama seperti JAWI, JAIS, JAKIM dsb termasuk alergi terhadap parti politik Islam, atau institusi yang menjadikan Islam sebagai identiti organisasi mereka.

3. Sinis terhadap keseluruhan ajaran agama.
Mereka ini pula tidak semestinya anti Tuhan atau ateis, namun mereka sinis terhadap semua agama yang dianggap sebagai doktrin yang penuh kecurigaan.

Walau apa pun bentuk sinikal ini, kesemua adalah suatu bentuk tindak balas (response). Apa yang difahami sebagai tindak balas, tentu ada sesuatu yang berlaku sebagai reaksi kepada kejadian tersebut. Ia bukan bermula sendiri, tetapi adalah tindak balas kepada sesuatu yang telah mengambil tempat terlebih dahulu. Maksudnya: reaksi sinis ini berlaku mungkin atas sebab sesuatu yang menyebabkan golongan yang melakukan reaksi sinis ini bertindak. Sebagai contoh, SIS wujud sebagai reaksi mereka menyaksikan begitu banyak wanita ditindas dalam sebuah negara yang mengamalkan agama Islam, lantas mereka merasakan agama itu ‘gagal’ membela wanita, malah menindas golongan wanita pula. Sekali imbas jika difikirkan, mereka ini tidak berpuas hati dengan Islam atau tidak berpuas hati dengan golongan Adam?

Contoh lain ialah Benjamin Stephen, seorang anak Perak yang pernah belajar di sebuah sekolah agama tersohor telah murtad dan kini menjadi pendakyah Kristian. Beliau kini dikatakan sedang sibuk memberi ceramah kepada penganut kristian dalam gereja. Malang sekali, intipati ceramahnya dikatakan tidak memberi inti kepada ajaran Kristian langsung, tetapi hanya sibuk mencaci dan menyindir serba serbi berkaitan Islam. Malah juga dikatakan ibu bapanya juga dihina dan dikutuk. Setelah dikaji puncanya, rupa-rupanya beliau ini dahulu dikatakan berpewatakan lembut, lantas sering dibuli oleh rakan-rakannya. Justeru bertindak menukar agama kesan daripada pengalaman beliau ini yang mungkin boleh kita faham sebagai memberontak. Jika difikir kembali, apakah beliau ini sebenarnya tidak berpuas hati dengan Islam atau dengan sekolah menengah agamanya?

Pemikiran skeptis
ini banyak berpunca daripada kegagalan golongan agamawan membina hujah-hujah yang benar dengan suatu bentuk pemikiran yang seiring dengan massa. Kebanyakan permasalahan agama pada hari ini diselesaikan dengan kaedah menghukum, menyindir, menyerang tanpa usul periksa dan bukannya mendidik dengan cara diskusi dsb. Lantas kadangkala mereka yang hendakkan penjelasan agama dsb mungkin akan terasa dihina dan menyebabkan tersinggung.

Apatah lagi ada agamawan yang terlibat dengan salah laku jenayah, tok imam meniduri anak kandung sendiri, ustaz mendera isteri, pegawai agama berlaku sumbang mahram sekaligus bertentangan dengan imej agama yang dibawa.

Justeru ustaz Hasrizal dalam artikelnya ini menyebut bahawa perlu ada perubahan modus operandi oleh sang pendakwah hari ini untuk mengatasi masalah ini. Selain itu, kita sebagai umat Islam bukan sahaja ditujukan kepada golongan agamawan khusunya hendaklah menonjolkan bahawa agama Islam itu benar-benar agama yang terulung dan terbaik, dipraktiskan melalui sikap, tindakan, cara fikir oleh kita sebagai penganutnya. Jangan sekali-kali kita menjadi punca Islam itu dipandang hina oleh mereka yang ‘kurang Islam’ lantas menyalahkan Islam sebagai puncanya. Marilah berubah, perbetulkan kembali kompas kehidupan kita sebagaimana yang kita ucapkan dalam setiap kali membaca al-fatihah, “tunjukkanlah aku jalan yang lurus.”

0015,
Apartmen Bangi Idaman,
Selangor



1 comments:

RaJa UmIr YaShA said...

salam'alaik..salam ziarah..

mungkin ana nk kongsi pandangan yg tak sberapa ini sikit.

ana dah menonton movee tersebut..tapi ana berfikir tak sama sperti nta..

bgi ana, movee tsebut tidak mbawa mesej utk mgatakan islam itu sempit dan tdak relevan..tapi movee tsebut bg ana, ia ingin mbawa mesej iaitu golongan yg beragama itu sndiri yg menyempitkan islam..ana harap ia lebih dikaji scara mndalam akan ap yg sbnarnya ign disampaikan..
semoga Allah meredhai~