BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, December 23, 2008

Si Penabur Paku


Pada awalnya saya merasakan tawar hati untuk menghadiri satu seminar yang diadakan di Hotel Vistana, Pulau Pinang. Mewakili NGO Sahabat Alam Malaysia, seminar bertajuk Media, Masyarakat dan Alam Sekitar ini amat tepat sekali diadakan seolah-olah mahu mengambil pengajaran dari peristiwa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang berlaku beberapa minggu lalu. Malang sekali saya terpaksa meninggalkan dewan seminar lebih awal, sejurus selepas makan tengahari kerana terpaksa menyiapkan kerja-kerja adhoc di pejabat.

Sebanyak 6 orang pembentang yang sempat saya ikuti, antaranya ialah Presiden TERAS, Cikgu Azmi Abd Hamid yang mewakili NGO Alam Sekitar selaku Setiausaha Kehormat SAM, Puan Hamidah daripada akhbar Utusan, mewakili Presiden Journalis Alam Sekitar Malaysia dan beberapa kakitangan pensyarah PP Komunikasi. Saya begitu tertarik dengan apa yang diperkatakan oleh Cikgu Azmi, berkenaan dengan sikap manusia yang begitu rakus dengan ketamakan dunia. Beliau mengaitkan dengan kejadian tanah runtuh yang berlaku di Bukit Antarabangsa beberapa bulan lalu ini. Tragedi yang berlaku ini telah diambil kesempatan oleh manusia untuk mendapatkan keuntungan. Analogi boleh kita kaitkan dengan cerita menabur paku di jalan raya. Dimana apabila ada sahaja kenderaan yang mengalami kebocoran tayar akibat terkena paku ini maka akan datanglah si 'penabur paku' ini dengan begitu baik sekali ingin membantu menggantikan tiub. Caj yang dikenakan kadangkala tidak munasabah, namun apalah yang mampu dilakukan lagi selain menbayarnya dengan harga yang mahal. Manusia seperti ini rupa-rupanya begitu banyak 'kembarnya' dalam sekto-sektor lain. Kesemuanya mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk mengambil kesempatan di atas nahas yang berlaku.

begitulah al-kisahnya manusia, pabila bertuhankan DUNIA. Ibarat meminum air laut, semakin diminum semakin bertambah rasa haus.

0 comments: