BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, September 8, 2009

Bangsa MEREKA Bangsa MEMBACA

Antara peristiwa terpenting yang berlaku di bulan Ramadhan, ialah berlakunya peristiwa Nuzul Quran. Sebagaimana yang ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk dan perbezaan (antara yang benar dan yang batil)… "
(Al-Baqarah: 185)

Hakikatnya, kitab suci al-Quran yang diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW bukan sekadar sebuah kitab biasa tetapi untuk menjadi pedoman hidup atau petunjuk (hidayah) bagi umat manusia, memberi rahmat, syifa', ketenangan, peringatan, penjelasan, sekali gus sebagai mukjizat atas kenabian Muhammad SAW.

Seharusnya peringatan Nuzul al-Quran ini menjadi momentum bagi kita sebagai umat Islam untuk menilai kembali sejauh mana kita memahami dan menghayati isi kandungan al-Quran, apatah lagi di bulan rahmat, bulan Ramadhan al-Mubarak ini. Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca tanpa difahami, tetapi perlu untuk dikaji dan dihayati agar segala kehebatan al-Quran itu mampu untuk diterjemah dalam aplikasi kehidupan seharian kita.

Imbas kembali bagaimana peristiwa penurunan al-Quran yang berlaku di Gua Hira’, dimana Nabi SAW yang berkhalwat disitu pada malam Jumaat, tepat 17 Ramadhan didatangi oleh Jibrail as. Ayat pertama yang diajarkan kepada nabi SAW ialah “Bacalah” (Al-Alaq:1)

Sebut tentang MEMBACA, saya teringat ketika berkunjung ke Popular Book Fest di KLCC beberapa minggu lepas. Kunjungan ke sana pun atas dasar tugas, mengiringi penulis baru dari KarnaDya, Salbiah Salleh yang melancarkan buku barunya; Hidangan Bajet Caraku. Agak teruja apabila melihat begitu ramai orang yang berkunjung ke sana untuk mencari bahan-bahan bacaan. Sesaknya sama seperti sesaknya ketika berada di pasaraya Tesco, Giant mahupun Mydin atau Carrefour. Namun yang lebih menggetarkan ialah melihat bangsa Cina memonopoli sebahagian pengunjung yang hadir. Tidak kira lapisan umur, dari kanak-kanak sehinggalah dewasa. Malah dalam kategori warga emas juga tidak sedikit yang berada disitu bersama-sama dengan se’bundle’ buku yang yang banyak. Manakala buku yang dibeli juga bukan buku-buku kartun, komik ataupun buku-buku seperti Mastika dan Mangga. Kesemuanya buku—buku yang berkulit keras dan berhalaman tebal yang menjadi pilihan.

Tidak dinafikan bahawa Popular book Fest ini dianjurkan oleh bangsa Cina sendiri, maka kebanyakkan buku-buku yang ada pun dalam bahasa cina. Cuma dari satu sudut yang lain saya teringatkan bangsa saya sendiri. Bayangkan dalam masa 10-20 tahun akan datang bagaimana keadaannya dengan bangsa kita. Orang cina banyak menghabiskan masanya bersama buku, dan bangsa kita banyak menghabiskan masa dengan lepak-lepak, menonton TV, gossip-gosip, SMS-SMS rancangan realiti. Sekiranya anda yang membaca tulisan ini bukan bangsa Melayu, maka anda tidak perlu risau.

Sekian.

Apartmen Bangi Idaman,
43650 Bandar Baru Bangi.

0 comments: