BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, November 14, 2009

Jom Hidupkan Roh Haji


Ketika buku-buku bercorak manual atau panduan untuk ibadah haji ini sudah melambak di pasaran, para bakal haji mungkin akan lebih berminat dengan buku yang lebih kepada pengalaman peribadi oleh mereka yang pernah menunaikan ibadah haji ini. Itupun bilangan naskhah serupa ini mungkin ada beberapa di pasaran. Namun, sedikit kelainan kepada buku ini ialah mesej yang disampaikan lebih bercorak santai, dan benar-benar datang dari hati yang ikhlas. Penulis yang dimaksudkan ialah Tuan Haji Aki bin Abdul Wahab.

Ini merupakan hasil tulisan beliau yang pertama dalam arena penulisan. Setelah beberapa bengkel penulisan yang disertai termasuklah Bengkel Penulisan anjuran KarnaDya Solutions Sdn Bhd dan Bengkel Penulisan anjuran IKIM, beliau berazam untuk memperbanyakkan lagi tulisan-tulisan beliau atas dasar untuk menyebarkan dakwah beliau kepada masyarakat. Sebenarnya ini merupakan tugas saya yang pertama sewaktu baru-baru masuk bertugas di KarnaDya, bermula dengan review buku ini kepada beberapa individu dan seterusnya berhubung dengan penulis untuk 'confirm terbit' melalui panggilan telefon. Ternyata sebagai orang yang baru mahu mencuba dalam bidang penulisan, terdengar riak-riak kegembiraan yang cuba untuk disembunyikan oleh beliau. Kesungguhan beliau untuk mempromosikan buku ini nampak jelas apabila buku ini turut disenarai dalam segmen Review Buku di program TV 3, Malaysia Hari Ini melalui pengantaranya Fedtri Yahya. Rasanya inilah buku pertama terbitan KarnaDya yang berjaya masuk TV setelah sekian lama.

Kembali bercerita berkenaan buku ini, salah satu point yang saya kira penting untuk dikongsikan ialah berkenaan Istiqamah Berkopiah. Penulis setelah pulang dari menunaikan haji telah berazam untuk terus istiqamah berkopiah sebagaimana yang dilakukannya di tanah suci. Pada waktu inilah beliau sedar bahawa tidak mudah untuk istiqamah, kerana di tanah suci mungkin kita dipengaruhi oleh suasana masyarakat yang rata-rata berkopiah (kecuali ketika berihram). Namun jika di Malaysia pasti kita akan dipandang asing. Selain itu, dengan berkopiah juga beliau mula 'jadi segan' untuk ke tempat-tempat yang 'tidak sepatutnya'. Berkopiah juga berjaya 'menghalang' beliau untuk melakukan maksiat pancaindera. Berkopiah menjadi 'pencegah' beliau untuk melakukan perkara-perkara mungkar, lantas akan terus mendidik diri untuk mengawal segala perbuatan, mahupun setelah kopiah itu ditanggalkan.

Dengan harganya hanya RM 17.00, buku ini saya kira cukup berbaloi untuk diletakkan dalam rak buku-buku kegemaran di rumah anda. Memang berbaloi.

1629,
Restoran Singgalang Indah,
Bandar Baru Bangi, Selangor

0 comments: