BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, September 14, 2008

Solat Terawikh Ekspress: Nak Kejar Apa?


Alhamdulillah, hari ini bertarikh 15 Ramadhan, menandakan sudah 2 minggu kita sebagai umat Islam menjalani ibadah puasa sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah SWT di dalam firmanNya (surah Al Baqarah:183). Bagi yang memahami bahawa bulan Ramadhan ini merupakan bulan yang penuh limpah rahmat, pastinya mereka akan mengambil peluang ini untuk melakukan ibadah dengan penuh kesungguhan. Selain daripada berpuasa di siang hari, kita juga dituntut untuk menunaikan solat Terawikh pada sebelah malam

"Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Saya telah mendengar sabda Rasulullah s.a.w. mengenai Ramadan: Sesiapa yang mendirikan sembahyang (Tarawih) dalam bulan itu dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu,"

Namun apa yang penulis ingin tekankan di sini ialah fenomena solat terawikh ekspress yang berlaku di sesetengah masjid dan surau kita. Rata-rata di kawasan Gelugor ini, imam yang mengendalikan solat Tarawikh masih boleh dipuji kerana membimbing solat Terawikh dengan baik dan tartil. Tidak sebagaimana di sesetengah masjid lain dimana Tok Imamnya, malah Tok Bilal dan para makmumnya mengerjakan solat Terawikh dengan begitu pantas dan sedikit tergopoh2.Tok Imam membaca al-Fatihah dengan sekali nafas, Tok Bilal pula melantukan selawat tanpa saya dapat memahami apa yang dituturkan, dan para jamaah yang kadangkala merebut-rebut untuk menyambut seruan selawat dari Tok Bilal.

Tarawikh jika kita lihat definisinya ialah bermaksud duduk bersenang-senang atau beristirehat. Manakala Solat Tarawih bererti solat sunat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isya’. Biasanya duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat solat sunat Tarawih, sebelum disambung semula.

Tujuan utamanya ialah untuk memberi peluang dan galakan kepada umat Islam supaya suka mengisi waktu yang terluang di dalam bulan Ramadhan, dengan ibadat-ibadat sunat seperti solat Tarawih, solat Witir dan membaca al-Quran, berzikir dan lain-lain.

Sekiranya Solat Terawikh yang juga merupakan fardhu kifayah ini dilakukan dengan sebegitu cepat dan pantas, maka apa yang boleh penulis beranggapan ialah ketidak fahaman ahli Jamaah memahami solat Terawikh dengan sempurna. Barangkali mereka beranggapan solat yang mempunyai rakaat sehingga 20 ini perlu dilakukan dengan cepat supaya dapat selesai dengan segera. Seketika penulis kehairanan apakah yang ingin dikejar oleh mereka? adakah kerana rancangan kegemaran mereka sedang menanti di Televisyen, atau jamuan moreh yang dihidangkan. Sedangkan khusyuk itu lebih penting dalam solat, barulah kita dapat menikmati keindahan dan kebaikan solat itu sendiri, di samping memenuhi definisi solat Terawikh itu. Wallahu' alam

0 comments: