BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, September 24, 2008

Ustaz Ellias bakal YDP Maipp ?

PULAU PINANG, 24 Sept (Hrkh) - Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairudin kesal Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi masuk campur dalam urusan pentadbiran Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) sehingga menyebabkan perlantikan Yang Dipertua Maipp tertangguh lagi.



Beliau yang memegang porfolio Hal Ehwal Agama, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Penerangan dan Perhubungan Masyarakat turut kecewa dengan sikap yang ditunjukkan oleh seorang Perdana Menteri kerana tidak faham bahawa bidang kuasa perlantikan YDP Maipp adalah hak Kerajaan Negeri.

"Apa yang berlaku baru-baru ini amat memalukan kerana jawatan YDP Maipp akan mengalami peralihan kuasa yang baru dan buat pertama kali dalam sejarah pemerintah Pulau Pinang apabila tiga orang Lembaga Pengarah Maipp dilantik daripada kalangan Umno.

"Tak apa semata-mata kerana nak jalankan perkara yang tertangguh selama ini serta nak melincinkan urusan berkaitan agama Islam di negeri ini," tegasnya.

Selama beberapa bulan lalu perbincangan telah diatur membabitkan pihak kerajaan dan Umno yang diketuai oleh YDP Maipp sekarang, Shabudin Yahya.

Apa yang mereka minta semua Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat persetujui termasuk melantik orang bukan politik menerajui Maipp iaitu Pensyarah Univesiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, Ustaz Alias Zakaria.

"Kita sudah menandatangi sepakatan bersama demi memastikan perjalanan Maipp dapat difungsikan dengan baik dan sempurna bukan seperti sekarang bermasalah apabila Shabudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Berangan enggan berundur atas alasan perlantikanya dibuat oleh Yang Di-Pertuan Agong, " ujarnya.

Sepatutnya, Abdullah menerima sahaja apa yang diputuskan bukan bertindak luar batasan tidak menyukai individu terbabit yang akhirnya mengheret keputusan seolah gantung tanpa tali.

Namun apa pun katanya, dalam pertemuan antara Shabudin, Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kerajaan Negeri selepas Aidil Fitri ini keputusan asal akan diguna pakai.

"Saya tetap dengan keputusan perjanjian bersama iaitu YDP Maipp diberikan kepada Ustaz Alias Zakaria kerana Abdullah tiada hak untuk masuk campur membelakangkan perkenan Yang Di-Pertuan Agong," jelasnya dalam program bantuan Aidil Fitri kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) seluruh Parlimen Permatang Pauh di Yayasan Aman, Penanti.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Ketua KeADILan Bahagian Permatang Pauh, Che Mat Hashim dan Ketua Wanita KeADILan Permatang Pauh, Khatijah Yahya. - HarakahDaily.net

0 comments: