BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, July 6, 2009

Ceritera Retreat Pemuda Serdang


Alhamdulillahi Rabbil Alamin. Sekiranya seluas lautan yang ada di muka bumi ini dijadikan dakwat untuk menulis nikmat Allah, maka akan keringlah lautan ini walaupun ditambah lagi dengan 7 lautan yang sama. Begitulah perbandingan yang digambarkan betapa luasnya nikmat yang diberi Allah SWT tercatat dalam kalam suci Quranul Karim.

Hujung minggu lepas aku telah dijemput oleh seorang sahabat untuk ke Retreat Pemuda Kawasan Serdang. Program yang dijalankan selama 2 hari ini diadakan di Karak, Dusun Eco Resort. Jahilnya diri ini kerana baru tahu bahawa Karak itu letaknya di Pahang. Perjalanan ke sana mengambil masa hampir 2 jam bersama-sama 42 orang sahabat pemuda lain, yang rata-rata merupakan Exco Kawasan dan Ketua Pemuda cawangan. Aku hadir atas tiket apa? Tiket percuma dari Allah… Alhamdulillah.

Walaupun program ini dijalankan pada waktu yang agak singkat, namun tetap padat diisi dengan beberapa pengisian. Setibanya di sana, kami terus sahaja makan tengahari, solat dan check-in sebelum bermulanya sesi taaruf yang dikendalikan oleh KP Kaw Serdang, Mohd Adram Musa, juga Bendahari DPP Pusat. Pada sebelah petang, kesemua peserta berpeluang untuk melakukan aktiviti flying fox. Lucu juga melihat 2-3 sahabat yang pada fizikalnya tampak ‘gagah’ dan ‘garang’ namun bila meniti jambatan gantung bermacam ragam yang ditunjukkan. Terdengar suara-suara nakal seperti

“ala ustaz, bila berceramah bukan main lagi..gedegang..gedegang..ni nak naik jambatan pun takut..hehe”, “takpa ustaz, ni kalau jatuh pun kita mati dalam perjuangan juga nih..heheh”.

Sebelum menuju ke kawasan untuk penerjunan flying fox, para peserta perlu melalui dahulu jambatan gantung, berketinggian hampir 100 kaki. Tidaklah terlalu tinggi jika hendak dibanding dengan jambatan gantung yang ada di tempat lain tapi boleh tahan juga gayatnya. Sewaktu melakukan penerjunan, perasaan bercampur baur. Rasa gayat pun ada, gementar dan teruja. Saat ini memperingatkan saya kepada pengalaman yang diceritakan oleh Ustaz AA Gym dalam program bulan Ramadhan di Astro Oasis.

“Bagaimana harus kita mengenal erti keberanian sekiranya kita takut untuk melakukan bungee jumping

Sewaktu itu beliau menceritakan pengalaman beliau melakukan penerjunan bungee jumping, semata-mata mahu mencabar dirinya agar menjadi lebih kuat jiwanya dengan keberanian. Ternyata bagi beliau mahu mencuba lagi selepas melakukan untuk kali pertama. Tambah beliau lagi, keberanian perlu dididik melalui pengalaman kita melakukan aktiviti-aktiviti seperti ini.

Berbalik kepada pengalaman di Dusun Eco Park ini, antara pengisian lain ialah ceramah oleh Saudara KP kami, membincangkan bagaimana untuk menguruskan sumber-sumber dalam menggerakkan tindakan-tindakan yang ditetapkan oleh jemaah. Kemudian pada esoknya seperti biasa qiamullail dan kuliah subuh. Sesudah itu untuk slot pagi diisi oleh Saudara Sabky Yusof, naib KP Pusat. Pengisian yang agak panjang lebar berkenaan pengurusan bagi memperkukuh organisasi parti. Saya sedikit teruja melihat gerak kerja dan program-program yang disusun oleh pemuda Kaw Serdang, mengingatkan saya kepada kaw saya sebelum ini di Pulau Pinang betapa keringnya dengan perancangan aktiviti, dengan jawatankuasa yang keluar masuk. Masing-masing mahu menolak yang lain, tiada siapa yang sanggup memegang amanah. Begitulah ceritanya dalam sebuah gerakan Islam, tiada/ jarang sekali yang menawarkan diri untuk merebut jawatan. Pengisian terakhir program ini sebelum resolusi ialah ceramah yang bertajuk Wehdatul Fiqh oleh YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, difahamkan beliau merupakan KP T’ganu. Pengisian ini membincangkan tajuk Thiqah sebagai Pengukuh Jamaah. Tajuk ini begitu penting untuk difahami oleh setiap ahli gerakan yang berada dalam parti berikutan isu unity government yang begitu hangat dibincangkan kini, sehinggakan bermacam-macam ragam ditunjukkan oleh ahli bawahan (grass root). Menurut beliau thiqah merupakan perkara yang sangat penting dalam kehidupan dakwah dan gerakan Islam. Seorang ahli gerakan yang tidak mempunyai thiqah tidak dapat membantu dakwah, kepimpinan dan kemenangan jemaah. Thiqah secara mudahnya bermaksud percaya; yakni penyerahan kepercayaan seterusnya diikuti dengan membenarkan dan mengikutinya. Paling utama ialah thiqah kepada Allah, kerana ia merupakan pembentukan ke arah keimanan yang mantap, aqidah yang kukuh, keyakinan yang teguh dan ketenangan hati kepada Allah. Sebab itulah kekuatan jiwa serta keyakinan para sahabat dahulu cukup kuat kerana Rasulullah SAW telah menggarap thiqah ini ke dalam diri para sahabat, terutama sekali ketika mana mereka berada dalam kebimbangan dan ketakutan kerana kepungan tentera al-Ahzab. Selain itu, setiap ahli gerakan juga perlu thiqah dengan manhaj PAS dalam tarbiyyah, dakwah dan politik; selagi mana jemaah ini menjadikan al-Quran, hadis Nabi, Ijma’ dan Qias sebagai rujukan yang bergerak melalui amal tarbawi, amal siasii, amal jihadii, amal ijtima’ dan seluruh amal Jemaah. Demikian juga ahli PAS perlu menerima dan taat apa jua pendekatan politik yang digunakan; muwajahah silmiyyah, tahaluf siasii dan lain-lain. Muwajahah silmiyyah kita boleh mengambil ruang-ruang kebebasan yang ada dalam sistem bukan Islam seperti demokrasi dan lain-lain untuk menyampai dan menerangkan perjuangan Islam.

Selepas thiqah kepada manhaj, perlu ada thiqah kepada kepimpinan. Para sahabat suatu masa dahulu telah menunjukkan thiqah mendalam kepada Rasulullah, pemimpin mereka walaupun berada dalam kekhilafan pandangan sebagaimana berlaku dalam perjanjian Hudaibiyyah. Pada waktu itu saidina Umar berpendapat perjanjian Hudaibiyah tidak memberi kebaikan kepada umat Islam dan memohon Abu Bakar memujuk Rasulullah agar menarik balik perjanjian tersebut. Kemudiannya Abu Bakar berkata; “Wahai Umar! Beriltizamlah kamu dengan keputusan Baginda. Sesungguhnya aku menyaksikan bahawa baginda adalah Rasulullah”, lantas Umar menjawab “Aku juga menyaksikan bahawa baginda adalah Rasulullah”

Akhir sekali YB telah mengingatkan kepada semua peserta yang hadir agar tidak mudah terpengaruh dengan propaganda dan khabar angin yang disebarkan oleh pihak musuh. Seperti mana kata-kata Timbalan KP Serdang sewaktu usrah bulanan, “jangan kita mendengar berita dari sumber-sumber yang berwahyukan akhbar perdana, dan diriwayatkan oleh bloggers dan laman-laman web tertentu yang belum tentu kesahihannya”.

Penutup program dikonklusi dengan beberapa resolusi bagi memperkuat dan memperkasa organisasi serta gerak kerja DPPK Serdang, serta menyediakan KPI bagi setiap program yang direncana. Perjalanan pulang ke KL pula tidak terasa keletihannya kerana mendengar celoteh sahabat aku Nizar ni yang dari Karak sampaila ke Pej DUN semula asyik bercerita tanpa henti. Hehe..jangan marah bro

0 comments: