BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, July 30, 2009

“Jangan Merajuk” dalam perjuangan


Antara menariknya kawasan Bangi ini apabila surau dan juga masjidnya begitu meriah dengan pengisian kuliah-kuliah agama. Pengisi kuliah juga bukan calang-calang orangnya, Dato’ Dr Haron Din, Ust Ismail Kamus, Ustaz Farid Ravi, dan sebagainya. Kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Ilahi yang telah meletakkan saya di bumi Bangi yang penuh barakah ini, sesuai dengan gelaran “Bangi Bandar Ilmu”.

Malam tadi (Khamis) surau An-Nur, Bandar Baru Bangi dipenuhi dengan para jemaah yang agak ramai berbanding biasa. Rupa-rupanya Ustaz Hasrizal Jamil (Saifulislam.com) yang bakal mengisi kuliah maghrib malam tersebut dengan tajuk berkenaan Isra’ dan Mi’raj. Malang sekali kerana terlalu tergesa-gesa ke sana sebarang alat catatan tidak dibawa, melainkan telefon bimbit Sony Ericson G502 yang tidak seberapa ini. Sempat juga merakam beberapa gambar dan audio.

Antara intipati ceramah beliau yang sempat terakam di memori dan bantuan rakaman audio:

1. Tiada istilah MERAJUK dalam usaha dakwah, apatah lagi cepat berputus asa, dan lemah semangat. Jangan kita menjadi umat yang tergesa-gesa, yang terlalu cepat mengalah dan terlalu menginginkan kemenangan. Keperitan yang dilalui para sahabat di zaman Rasullullah begitu dahsyat sehingga ada sahabat yang mengeluh pada Nabi SAW. Namun Nabi SAW menjawab bahawa apa yang dialami pada zaman Nabi Musa lebih dahsyat dari itu, melainkan SABAR yang menjadi kekuatan mereka akhirnya. Allah menguji manusia sejauh mana kita yakin dengan Allah bahawa kemenangan itu adalah sesuatu yang pasti.

2. Peristiwa Isra’ dan Mi’raj juga mencabar intelektual manusia. Bagaimana perjalanan nabi dari Mekah ke Sidratul Muntaha boleh mencapai dalam masa satu malam, mampu untuk difahami oleh masyarakat hari ini. Analogi yang diberikan cukup menarik; seekor lalat yang tetiba masuk ke dalam pemilik kereta yang ingin ke KLCC dari Bangi, mengambil masa hanya kira-kira 2 jam berbanding sekiranya lalat tersebut terbang bersendirian, pasti akan mengambil masa berminggu-minggu. Betapa sukarnya lalat tersebut ingin menerangkan kepada sekalian keluarga-keluarga lalat yang lain berkenaan perjalanannya itu kerana lalat tersebut telah menaiki kereta. Begitulah jugaa Nabi SAW yang menaiki buraq ke sidratul muntaha, buraq yang diperbuat daripada cahaya.

3. Allah memulakan ayat dengan ‘Subhanallah’ dalam surah an-Nisa ayat pertama, menunjukkan kepentingan mekanisme ZIKIR dalam apa jua bentuk penyelesaian kita. Namun ZIKIR tidak akan mendatangkan manfaat jika terpisah dengan FIKIR. Zikir berfungsi mensucikan sangka buruk kita kepada Allah, lantas menutup segala pancaindera kita terhadap nikmat Allah yang cukup luas. Paling penting peranan ZIKIR dan FIKIR perlu disepadukan bagi mencapai kepada penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi.

4. SOLAT juga merupakan kurniaan Allah pada malam Isra’ Mi’raj. Mengapa solat begitu penting kepada manusia, sehinggakan diibaratkan sebagai tiang agama dalam sebuah hadis berbanding ibadah lain seperti mengerjakan Haji atau berpuasa di bulan Ramadhan;

-Solat sebagai MEDIUM PERHUBUNGAN terpenting kita kepada Allah. Umpama telefon bimbit sebagai medium perhubungan kita kepada ibu atau isteri kita, sama ada susah atau senang pasti Si Ibu mengharapkan panggilan dari anaknya, begitulah juga antara kita dengan tuhan. Tuhan sangat inginkan mendengar suara hambaNya, dan solatlah sebagai tempat kita untuk merintih, memohon dan meminta segalanya kepada Allah

5. Penutupnya, solat merupakan rahmat disebalik Isra’ dan Mi’raj. Namun hari ini solat tidak mampu memberi kesan kepada manusia. Antara sebabnya ialah KEKURANGAN DOS. Solat tidak sempurna dan tidak lengkap. Umpama pengambilan ubat yang sepatutnya diambil sehari dua biji kapsul tetapi diambil sebiji untuk 2 hari, maka keberkesanan ubat tidak akan berkesan, kerna KEKURANGAN DOS. Bagaimana dengan kualiti solat kita?

Bersempena dengan kedatangan Ramadhan yang bakal tiba, marilah sama-sama kita menyucikan zahir dan batin kita sebagai persediaan kita bagi menghadapi Ramadhan Al Mubarak. Semoga pada Ramadhan nanti kita dapat menumpukan sebaiknya tumpuan untuk beribadah kepada Allah pada kualitas yang terbaik.

Sekian.

1 comments:

pali said...

salam, masyallah farid, sangat baraqah berada hampir dengan limpahan ilmu ulama! Saya cemburu! :)