BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, November 26, 2008

Kader Dakwah yang semakin tenat...


Malam kelmarin saya menerima panggilan daripada seorang pemimpim tertinggi sebuah NGO Islam. Beliau yang membahasakan dirinya sebagai Kak Lat mempelawa saya untuk dilantik sebagai AJK di NGO tersebut pada pemilihan yang akan diadakan tidak lama lagi. Saya menolak secara hemah dengan menyatakan bahawa bebanan kerja lapangan di luar (out station) yang tidak tentu hala dijadikan alasan kukuh.

Menoleh ke belakang, komitmen saya bersama mereka, dan juga kehadiran saya bersama mesyuarat-mesyuarat yang dijalankan juga tidaklah sekerap mana. Namun kerana itulah cabaran yang harus ditempuh oleh mana-mana jamaah atau pergerakan Islam hari ini. Jika kita lihat kebanyakkan seseorang yang berada di satu-satu jamaah itu pasti mempunyai tidak kurang 2-3 jawatan yang lain dalam jamaah tersebut. Fenomena ini bukan satu yang asing dan pelik. Semasa di kampus juga dahulu, taklifan kerja yang bertindih ini sudah menjadi satu kebiasaan. Dalam mana-mana perjumpaan atau meeting yang dihadiri, hampir kelihatan muka-muka atau figure yang sama sahaja.

Situasi ini bukanlah suatu yang baik untuk jamaah Islam lebih-lebih lagi dengan situasi umat Islam yang huru-hara di negara ini. Masalah sosial yang tak pernah surut, Institusi Fatwa negara yang goyah, ulama dianggap bagaikan sahabat sendiri~sesuka hati untuk bertepuk tampar, mufti yang lantang disuruh berundur, dan pelbagai lagi musibah yang melanda umat Islam hari ini.

Sekiranya USM di ambil kira sebagai penanda arasnya, kebanyakan jamaah-jamaah Islam disitu mengalami kemerosotan dari segi bilangan ahlinya tahun demi tahun. Tidak kiralah jamaah mana sekalipun. Pelbagai solusi telah dicari, perjalanan usrah dipertingkat, sistem tarbiyyah diperkasakan namun masalah ini masih menghantui mereka. Itu belum disukat keahlian muslimin yang tidak pernah lebih ramai dari muslimat seperti dahulu, walhal tenaga muslimin-lah yang paling penting terutamanya untuk menggerakkan program dan sebagainya.

Antara cadangan yang terlintas di fikiran saya kini ialah untuk di peringkat kampus malah di kalangan masyarakat luar sekalipun, setiap penggerak dakwah ini perlu kreatif dan berfikiran jauh untuk menarik lebih ramai lagi mad'u-mad'u yang masih meraba-raba mencari kanta Islam yang sebenarnya. Ketepikan seketika ta'adud jamaah, dan apa jua masalah antara kita sesama jamaah demi Islam. Hentikan dari mengkritik sesama pemimpin dan selesaikanlah secara muafakat. Kita semua berada dalam gerabak dakwah yang sama, masih lagi melalui proses untuk menjadi matang. Semoga daulah Islam terus ditegakkan.

0 comments: