BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, April 16, 2009

10 tanda lelaki sedia untuk komitmen


Artikel ini dipetik dari surat khabar Utusan Malaysia dalam sisipan Mega hari Rabu 7 Jan. Soalnya, adakah kita sudah bersedia untuk memberikan komitmen? Selamat membaca.

MEMASUKI tahun baru mungkin ada yang sudah berazam untuk menamatkan hubungan dengan teman lelaki atau wanita melalui ikatan pernikahan.

Persoalannya, adakah teman anda atau anda sendiri telah bersedia untuk memberi komitmen kepada satu ikatan yang kekal atau masih dilanda fobia untuk melepaskan gelaran bujang.

Bagi wanita, sekarang ini mungkin masanya untuk melihat sama ada teman lelaki anda benar-benar sudah bersedia dan mempunyai matlamat yang sama.

Beberapa Panduan ini mungkin boleh menolong untuk mengetahui sama ada lelaki sudah bersedia untuk memberi komitmen pada satu ikatan perkahwinan.

1. Kawan-kawannya terdiri daripada lelaki yang sudah berkahwin
Jika berasakan teman lelaki anda adalah calon suami yang sesuai, anda perlu periksa sama ada rakan-rakannya adalah kalangan lelaki yang sudah berkahwin.

Kajian menunjukkan bahawa jika rakan-rakannya sudah berumah tangga, dia lebih berkemungkinan besar mempunyai keinginan untuk berkahwin.

Tetapi, jika rakan-rakannya di kalangan lelaki bujang dan masih berada di fasa ingin berseronok dan berparti, ia mungkin isyarat yang kurang baik.

2. Kewangannya stabil
Kajian menunjukkan bahawa lelaki yang mempunyai rumah sendiri lebih bersedia untuk berkahwin. Lelaki yang berasakan kewangannya stabil akan melihat perkahwinan adalah peringkat seterusnya dalam fasa hidup mereka.

3. Dia mula mendesak anda
Lelaki yang bersedia untuk membuat komitmen akan membuka langkah terlebih dahulu. Jika emel anda kepadanya mengambil masa beberapa hari untuk dibalas atau jika anda terpaksa bertanya untuk tahu di mana dia berada atau jika anda saja terpaksa menghubunginya, anda mungkin mengejar lelaki yang mungkin tidak berminat terhadap perkahwinan.

4. Dia bersedia untuk menunggu
Jika lelaki tersebut mengambil inisiatif untuk mengenali anda dengan lebih dekat, dia kemungkinan besar bersedia membuat komitmen.

5. Mengambil berat ketika anda sakit
Jika dia mengambil berat keadaan anda ketika anda sakit, ini menunjukkan lelaki ini bukan berada di sisi hanya untuk berseronok. Jika dia mahu bersama anda ketika susah, itu tanda dia bersedia dengan hubungan jangka panjang seperti perkahwinan.

6. Dia berusaha mengenali rakan dan keluarga anda
Lelaki yang memikirkan hubungan jangka panjang mahu mengenali anda dengan lebih mendalam. Melihat anda berinteraksi dengan keluarga dan rakan-rakan anda, membantu dia mengenali anda dengan lebih mendalam.

Pada masa sama dia juga mahu anda mengenalinya dengan lebih dekat. Dia mahu melihat sama ada anda sesuai dengan keluarga dan rakan-rakannya.

Lelaki yang cuba menjauhkan anda dengan individu-individu yang penting dalam hidupnya, melihat hubungan sebagai suka-suka saja.

7. Dia menggunakan perkataan 'kita' bukannya 'saya'
Apabila dia bertukar daripada menggunakan 'saya' kepada 'kita', itu tanda dia semakin komited dengan anda.

Jika teman lelaki hanya menyebut 'saya' berbanding 'kita' dalam perbualan biarpun selepas sekian lama berkenalan, sebenarnya dia masih senang dengan dirinya sebagai lelaki bujang.

8. Dia tidak takut berkompromi
Lelaki yang bersedia terhadap komitmen tidak ragu-ragu untuk meminta pendapat atau berbincang mengenai sesuatu keputusan yang beliau buat dan dia bersedia berkompromi dengan anda.

Lelaki ego yang mahu segala-galanya mengikut caranya tidak bersedia untuk berkompromi, sedangkan ia merupakan sebahagian sifat semula jadi sebuah hubungan yang matang.

9. Dia tidak perlu berdalih
Lelaki yang fobia dengan komitmen sentiasa mencari pelbagai alasan sama ada untuk tidak mahu keluar dengan anda, alasan kenapa tidak menelefon dan alasan mengapa tidak bersedia untuk membawa hubungan ke peringkat seterusnya.

Sebaliknya, lelaki yang bersedia dengan komitmen tidak perlu berdalih, dia hanya perlukan anda.

10. Dia suka pada hubungan jangka panjang
Jika dia sentiasa mengadu mengenai memerlukan ruang untuk bersendirian, melayan anda seolah-oleh anda satu bebanan bukannya anugerah dan sentiasa bercakap agar tidak perlu terburu-buru untuk membawa hubungan ke peringkat seterusnya, secara tidak langsung dia memberitahu bahawa dia tidak bersedia untuk komitmen.

11. Dia suka tulis mengenai perkahwinan dalam blog
Mungkin kalau dia selalu membicarakan soal perkahwinan dalam perbualan anda mahupun di dalam blog peribadinya, dia sudah bersedia untuk memberi komitmen berumah tangga. Sebenarnya isi yang kesebelas ini saja aku tambah. Dalam akhbar tu cuma ada sepuluh saja.

Renungkanlah sejenak akan masa depan perhubungan kalian ya. Sampai bila nak melakukan dosa kan?

1 comments:

pali said...

yang ke 12,

lelaki itu menulis didalam blognya entry bertajuk "10 tanda lelaki sedia untuk komitmen", tapi pada menambah 1 komitmen lagi , bermakna dia SANGAT-SANGAT komitmen!!

wa la we~