BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, April 16, 2009

Zaman Itu


Suasana redup dan hingar bingar di waktu petang benar-benar menggamit perasaan. Kali ini bukan di Kulim, tetapi di Teluk Air Tawar; suatu tempat yang tidak pernah aku jejaki. Kecuali hari ini kerana aku sekali lagi dijemput untuk memberi bantuan kepada adik SMK TAT untuk pertandingan nasyid. Bersandar di Masjid Daerah Seberang Prai Utara, memerhatikan gelagat pakcik-pakcik yang sedang rancak bersembang. Kelihatan juga anak-anak berbasikal sambil membonceng, barangkali adiknya sendiri. Wajahnya hampir serupa, sambil membawa 2 botol air masak dengan kedua-duanya digendong kiri dan kanan. Oh ya, malam ini malam jumaat. barangkali ada bacaan yassin diadakan di masjid ini, seperti kebiasaan di tempat lain juga. Melihat telatah dua beradik itu, mengingatkan ketika aku di zaman kanak-kanak, yakni sebelum ke sekolah asrama. Lakonannya hampir serupa, cuma waktu itu lebih ramai, dalam 5 ke 6 orang dan kesemuanya terdiri dari jiran-jiran 'seperjuangan'. Kemana saja 'program' pasti bersama-sama. Aku masih ingat nama mereka, Caca, Gendut, Pie, Jaid dan Ijon. Kami memancing bersama, main bola takraw, badminton, pondok-pondok, ber'poya-poya' di bandar, malah kami juga ke masjid waktu itu bersama-sama, sambil membawa 'bekal'. kadangkala gendut akan bawa keropok bersama untuk dimakan selepas selesai solat maghrib di masjid, memandangkan neneknya merupakan seorang peniaga runcit. Caca kini sedang menuntut di UIA, Pie di Uitm Shah Alam, manakala gendut dan jaid hentah ke mana. Barangkali sudah bekerja dimana-mana. jarang sekali melihat kelibat mereka di kampung ketika aku pulang ke rumah. Huh, terasa mahu kembali semula ke zaman itu.

0 comments: